nuffnang ad

Monday, November 7, 2011

Maaf, Aku Belum Bersedia Untuk Jumpa Kau

Hari ni aku terima pesanan dari seorang 'bekas teman baik' yang mengatakan dia merindui aku dan ingin menemui aku. Maafkan aku, aku belum bersedia untuk bertemu dengan kau. Setelah beberapa perkara yang kau lakukan kepada aku beberapa tahun yang lalu, aku masih belum mampu untuk bersua muka dengan kau. Perasaan marah itu masih tersemat di hati aku. Bukan aku sahaja yang berperasaan begitu, seorang lagi teman aku juga masih marah pada kau.

Benda ni memang dah lama berlaku, sepatutnya aku sudah boleh melupakan benda itu. Tapi aku hanyalah manusia biasa yang tak boleh lari dari perasaan dendam terhadap orang yang telah berkali-kali merobek hati aku. Sampai sekarang aku masih boleh ingat apa yang kau lakukan terhadap aku. Beberapa lelaki yang pernah rapat dengan aku, kau pun ingin rapat dengan lelaki tersebut. Aku tak kisah kalau kau hanya sekadar ingin berkawan dengan mereka. Tapi bila kau sanggup memburuk-burukkan aku di hadapan lelaki tersebut semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan simpati, itu yang aku tak boleh terima. Kau sanggup 'mencuri' nombor telefon lelaki tersebut dari telefon bimbit aku. Kalau betul hanya ingin berkawan, kenapa mesti mencuri?

Perkara yang paling aku tak boleh terima apabila kau ucapkan "anggaplah kita bukan kawan lagi kalau aku tak mampu nak bayar hutang kau ni". Sanggup kau samakan nilai persahabatan kita dengan beberapa ratus ringgit. Mungkin pada waktu itu kau terasa sebab aku meminta kau membayar semula duit tu. Tapi kau harus ingat, pada waktu itu aku hanyalah seorang pelajar yang bergantung pada pemberian ibubapa dan pinjaman PTPTN.

Maafkan aku 'bekas teman baik' bila aku katakan ini, biarlah kita menjalani kehidupan kita seperti sekarang, tidak perlulah kita berhubung antara satu sama lain lagi. Aku pernah cuba untuk memaafkan kau tapi lebih kurang 2 atau 3 tahun lepas kau buat tahi lagi. Seorang teman di pejabat kebetulan adalah teman lama kau juga. Aku sedih mengetahui yang engkau bercerita mengenai keburukan aku terhadap dia sampai dia mengeluarkan ayat ni, 'aku tak sangka kau macam tu Min'. Aku tak tahu apa yang kau ceritakan pada dia. Tapi akhirnya teman ini telah meminta maaf dengan aku. Katanya setelah berfikir beberapa kali dia merasakan adalah mustahil aku berperangai seperti itu dan dia percaya yang kau hanya membuat fitnah terhadap aku.

Melalui teman sepejabat tu juga aku telah dapat tahu apa yang terjadi pada kau. Aku bersimpati dengan apa yang telah kau lalui itu. Tapi perasaan simpati ini hanya boleh aku nyatakan dari jauh. Maaf kalau aku adalah seorang yang mementingkan diri sekarang ini. Tapi inilah kenyataannya, bahu aku bukan lagi tempat untuk kau lepaskan tangisan. Bahu aku hanyalah untuk seorang teman yang betul-betul menghargai aku.

Tidak aku nafikan yang aku sedih bila memikirkan yang kau bukan lagi teman rapat aku. Mengalir airmata aku bila menatap semula gambar-gambar lama kita berenam. Tapi inilah harga yang harus aku bayar kerana aku tak mahu pisang berbuah untuk kesebelas kalinya (aku tak ingat dah berapa kali kau lukakan aku).

Sekali lagi, maafkan aku 'teman', hanya masa yang mampu (mungkin) merubah segalanya...

No comments:

Post a Comment