nuffnang ad

Thursday, February 28, 2013

Saya Mahu...

...nak pergi benda ni. Tapi memikirkan sekarang ni tak banyak sangat masa nak membaca, kena lupakan je la niat ni. Buku yang ada ni pun banyak yang tak habis baca lagi, huhuhu.


Wednesday, February 27, 2013

Accountant vs Engineer 1.0

Siapa yang kenal aku dari zaman muda-muda dulu, mesti kenal dengan sikap aku yang suka nak menang ni. Lagi-lagi bila bab bercakap. Kalau 'berdiskusi' dengan orang, memang nak menang je. Tapi sejak-sejak dah tua ni, macam dah slow down sikit. Malas dah nak bertekak dengan orang, buat orang sakit hati je. Nanti tak pasal-pasal dapat dosa, huhuhu.

Tapi tu tak bermakna aku akan senyap sepanjang masa. Kadang-kadang tu terkeluar jugak, hujah-hujah ni, hehehe. Sekarang ni selalu 'bertekak manja-manja' dengan Nuar je. Kat office, dah senyap sikit. Seboleh-bolehnya aku cuba jadi pendiam, takut kalau mengguris hati orang lain. Kadang-kadang kita tak sedar yang kita gunakan perkataan yang 'salah'.

Ini adalah antara 'diskusi' kami yang menarik untuk dikongsi...

Accountant : Awak, kesian tau siapa yang jadi Accountant.
Engineer : Apesal pulak?
Accountant : Sebab kitorang tak pernah nak dapat sambut tahun baru dengan tenang, silap-silap tak boleh cuti pun sebab nak kena siapkan report. Biasanya ada report yang kena hantar 1 haribulan.
Engineer : Engineer lagi la kesian.
Accountant : Kenapa?
Engineer : Sebab setiap kali raya, tak dapat raya dengan tenang. Kena standby, kot-kot ada breakdown.
Accountant : ..........

Asyik dia je nak menang :(



Tuesday, February 19, 2013

Catatan Amirul Hadif

Yeay, hari ni genaplah umur saya 16 bulan. Macam-macam pencapaian yang telah saya capai dalam tempoh masa 16 bulan ni. Hobi saya adalah menyakat Mommy saya sehingga dia bertukar menjadi Incredible Hulk. Hobi ini saya kongsi bersama Abah saya, kami suka melihat Mommy menjadi Incredible Hulk, hikhikhik.

Sempena hari jadi saya yang ke-16 bulan ni, Mommy hadiahkan saya buku mewarna dan sekotak pensil warna. Mommy saya memang tak sabar orangnya. Dekat kotak pensil warna tu dah tulis yang pensil warna ni sesuai untuk kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas. Tapi Mommy saya memang degil orangnya, dia nak paksa jugak saya mewarna, ish, ish, ish.


Tapi saya ni anak yang taat. Mommy nak saya mewarna, saya ikut je. Bukan susah pun. Conteng sana sikit, conteng sini sikit. Siap la, inilah yang dinamakan seni.

 Sekian saja dari saya. Nanti bila Mommy tak nampak, saya tulis lagi dalam blog ni ok. Bye semua...

Yang Ikhlas,
Amirul Hadif

posted from Bloggeroid

Manusia Selalu Lupa Pada Janji

Ni nak meroyan lagi, asyik meroyan je sekarang. Ish, ish, ish, tak baik untuk kesihatan. Amaran keras, orang yang aku maksudkan ni bukan Nuar tau. Nanti ada pulak mulut puaka yang ingat aku bergaduh suami isteri. No, no, no...

Memanglah normal untuk manusia lupa pada janji, tapi aku nak hangin jugak sebab aku ingat janji yang kau buat tu.

Sedikit sebanyak janji kau tu dah meragut sedikit kebahagiaan hidup aku. Sebab aku tunggu-tunggu jugak benda ni, tapi tak kunjung tiba. Sakit hati tau.

Aku tau yang kau pun tak suka orang buat macam ni kat kau, jadi jangan buat macam ni pada hidup aku. Sila tepati janji kau, lama dah aku bersabar ni.

Ok, bye.

Tak boleh tulis panjang-panjang, entri meroyan mesti pendek je, hehehe.

Friday, February 15, 2013

14 Februari

Hari ni dah 15 februari dah, tapi baru nak update pasal 14 februari. Almaklum la, mak kan busy.

Sebenarnya tak teringat pun Valentine day ni. Sejak-sejak disedarkan oleh boyfriend yang dah jadi suami, memang tak sambut dah.

Bila check facebook, baru teringat pasal Valentine ni sebab ramai yang tunjuk bunga yang diorang dapat.

Aku pun tak ada cerita pasal Valentine ni, tapi ada la satu kejadian dekat office yang kelakar. Aku rasa kelakar la, kalau korang rasa tak kelakar, tak apa la, tak marah pun.

Lalu dekat meja penyambut tetamu ni, ternampak satu jambak bunga yang cantik. Kali kedua lalu kat situ, bunga tu masih ada kat situ. Aku dah rasa pelik dah, tuan tak nak ke bunga tu. Kalau tak nak, bagi la kat aku je, hehehe.

Kali ketiga lalu, bunga tu ada lagi kat tu. Disebabkan perangai kepochi aku ni sangat hebat, terus tanpa perasaan malu tanya dekat penyambut tetamu tu. Siapa punya bunga tu?

"tak tau la Kak, cuba Kak baca kad tu", jawab si penyambut tetamu.

Tanpa rasa ragu-ragu aku pun baca...

Baby,
Walaupun kau jauh di mata bla bla bla...
Daripada Abu bin Ahmad

Dia tulis dalam bahasa omputih, tapi aku dah terjemahkan untuk korang siap-siap. Nama pengirim tu pun bukan nama sebenarnya. Tak boleh letak nama betul, kena saman nanti, huhuhu.

Yang memeningkan kepala di penyambut tetamu tu, sebab tak ada nama sebenar si penerima, setakat Baby je. Ish, nama aku pun Baby jugak time aku baby dulu, hehehe. Tapi nama pengirim tu nama penuh.

Aku kan memang selalu ada cadangan 'bernas' dan mungkin jugak sebab dah berjangkit perangai loyar buruk Nuar, terus aku bagi cadangan ni...

"apa kata you hantar email dekat semua staf. Tulis macam ni... Kepada staf yang bernama Baby dan mempunyai boyfriend bernama Abu bin Ahmad, sila ambil bunga anda di meja penyambut tetamu".

Tapi cadangan ditolak, hahaha.

Lain kali nak hantar apa-apa kat office, tulis la nama penuh. Kalau hantar dekat rumah, lain cerita la.

Eh, kalau hantar dekat rumah pun kena nama penuh. Sebab kalau letak Siti je, mesti aku berebut dengan Siti Azalia tu.

Macam haritu, aku beli barang online. Barang tu nak hantar dekat office. Nasib baik aku teringat nak kasi nama penuh. Kalau tak penjual tu nak guna nama Minnmizi je. Ish, ish, ish memang berzaman la barang tu nak sampai dekat aku sebab bukan ramai pun yang tahu tu nama aku.

posted from Bloggeroid

Wednesday, February 13, 2013

Jemput-Jemput Sedap Abah Amirul

Saje je bagi tajuk 'jemput-jemput sedap', padahal biasa-biasa je, hahaha.

Nuar cakap kat aku yang aku ni suka berat sebelah, asyik lebihkan Amirul. Kat blog ni asyik cerita pasal Amirul je, tak ada cerita pasal dia pun. Ish, ish, ish, dengan anak sendiri pun nak cemburu. Bukannya tak nak buat entri pasal dia, tapi bahaya sikit buat entri pasal suami ni. Kang kalau terguris hati dia, tak pasal-pasal dapat dosa (alasan baik punya), hehehe.

Jadi terimalah entri khas untuk laki aku ni, hihihi.

Petang semalam, tengah sedap-sedap aku baring sambil baca blog, Nuar request nak jemput-jemput. Siap kata nak sambal sardin segala. Ish, kacau daun betul la. Sekali, dia kata dia yang nak buat, aku tolong je. Ha, bagus, bagus.

Tapi bukannya aku dapat relax pun kat dapur tu. Budak kecik tu sibuk jugak nak tolong. Boleh pulak dia masukkan sebiji kentang dalam lesung batu, siap tumbuk-tumbuk lagi kentang tu. Aku takut anak lesung batu tu terhempap kaki dia je. Dah kena marah sebab main lesung batu, dia hentam mengemas bakul bawang, mengemas pinggan mangkuk. Aduh, tension mak. Kalau camni, elok aku je yang buat jemput-jemput tu, biar Nuar jaga Amirul.


Tada.... Tu lah jemput-jemput air tangan laki aku. Kurus-kurus je, dah macam lempeng pulak. Tu pun punyalah dia bangga, konon macam sedap gila lah jemput-jemput dia tu. Rasa jemput-jemput la, tak kan rasa pizza pulak kan. Tu pun aku bersyukur dah, ada jugak orang nak buatkan aku jemput-jemput, huhuhu.


Tapi sambal sardin ni memang sedap. Lain kali silalah buat lagi ek. Dia siap kata ni adalah resepi rahsia yang dia belajar dari mak dia. Ceh, macam betul je.

Nuar ni selalu berlagak, kata yang sebenarnya dia pandai memasak, cuma malas nak tunjuk skill. Padahal, sepanjang kitorang kahwin, ni baru kali kedua dia memasak. Kali pertama masak Ayam Masak Kicap. Bila aku masak, sesuka hati dia je nak cakap teknik memasak aku salah. Cis, terasa tau.

Ok, sekian saja. Terima kasih.
posted from Bloggeroid

Tuesday, February 12, 2013

Resepi Ikan Bakar Oven Mak Amirul

Hari ni punya la rajin nak masak ikan bakar. Bakar kat oven je, kalau nak bakar pakai arang, alamatnya pukul 5 petang la baru dapat makan tengahari. Lagipun takut orang rumah ni pulak yang terbakar kalau lambat sangat masak, huhuhu.

Alkisahnya, semalam kami 3 beranak pergi la Pasar Seksyen 6 Shah Alam tu. Sekali ternampak pulak brother ni tengah potong-potong ikan pari. Macam sedap la pulak. Sepanjang dah jadi bini orang ni, tak pernah lagi aku masak ikan pari. Kena cuba ni. Duk pikir nak masak apa. Mula-mula ingat nak masak asam pedas. Tapi entah kenapa dengan tangan aku ni, memang fail masak asam pedas. Tak pernah sedap. Fuh, nasib baik tak kawin dengan orang Melaka, hahahaha.


Beli sekeping je, cukup la nak makan 3 beranak. Tu pun dah 8 hinggit. Harga hidupan laut ni mahal sungguh sekarang ni. Harga udang semua dah lebih 20 hinggit sekilo. Dah la aku ni suka makan seafoods :(


Nah, ni resepinya. Bolehlah cuba, senang je nak buat ikan bakar rupanya. Aku duk intai-intai jugak resepi orang lain. Ada yang senang sangat, setakat letak kunyit dengan garam je. Ada yang pakai banyak ramuan, sampai letak jintan, ketumbar. lengkuas bagai. Last-last aku buat ikut tekak sendiri je.

Bahan-bahan:
*Bawang Merah - 3 ulas
*Bawang Putih - 5 ulas
*Halia - 1 inci
*Serbuk kari - 3 sudu

Pati asam jawa
Garam secukup rasa
Serai - 2 batang

Blend semua bahan *, tapi aku tumbuk je pakai lesung batu.


Lepas tu lumurkan semua ramuan tu dekat ikan. Lumur biar sekata, jangan ikut macam aku tu. Patutla kurang sedap, dah la tak sekata, tak lumurkan kat seluruh ikan rupanya, huhuhuhu.


Lepas tu bungkus dengan aluminium foil, alaskan dengan daun pisang. Disebabkan rumah aku ada daun pandan je, maka daun pandan la yang menjadi mangsa. Bungkus sekali dengan serai yang dititik. Tapi Nuar kata kalau letak bunga kantan, mesti lagi sedap. Ish....

Masak pada suhu 200°C selama 30 minit.


Tara... Dah masak pun. Nampak sedap tak? Yang penting sedap dekat tekak Nuar dengan Amirul, tekak orang lain tak penting, hahaha.


Sebenarnyakan, ikut niat hati nak buat air asam. Tapi kurang asam betul kedai depan rumah aku ni. Boleh pulak diorang tak buka kedai harini, macam mana aku nak beli tomato. Arghh, stress tau, sesuka hati dia je nak tutup kedai. Tak apa la, cicah kicap je.


Akhir sekali, terimalah terung goreng cili idaman hati...

Ok, bye. Selamat mencuba.
posted from Bloggeroid

Tuesday, February 5, 2013

Lambatnya Masa Berlalu

Aduhai, dari semalam aku duk melopong je kat office ni. Tak ada kerja langsung. Tunggu je email masuk, lepas tu reply immediately.

Kalau time sibuk tu, sibuk lah sangat. Sampai tahap nak pergi makan pun fikir 10 kali. Nak membuang air pun sanggup tahan. Time tu rasa macam masa berlalu dengan pantas. Lapan jam tu memang tak cukup, rasa macam patut tidur dekat office je.

Sekarang ni bila tak ada kerja, rasa bosan pulak. Nak mengadap internet, takut pulak. Bukan apa, team leader ni mengadap monitor aku. Jarak tempat duduk kitorang lebih kurang 3 meter je. Budak-budak ni kata dia tak kisah pun kalau kita tengok internet.

Tapi aku tak nak lah salah gunakan kelonggaran yang dia dah bagi tu, nanti kalau dia tarik balik, semua orang merana.

Nak 'mengular' pergi OU pun tak ada mood, sebab tak ada kawan. Orang lain semua tengah sibuk close accounts. Akulah antara orang yang bertuah, yang tak perlu close accounts (buat masa ni la). Lepas habis projek ni, kenalah buat kerja-kerja close accounts ni.

Projek yang aku buat ni pun banyak kerja juga. Tapi lepas aku hantar dokumen-dokumen yang kat bawah ni, dah kurang kerja dah.



Zaman sibuk dulu, selalu jugak la Nuar dengan Amirul bertapa dekat OU ni, sebab aku kena pergi office waktu hujung minggu, huhuhu.

Kiranya dah lepas fasa sibuk sekarang ni, boleh la bernafas sikit. Kalau tak, tiap-tiap hujung minggu kena bawak balik laptop. Nak bergembira pun rasa bersalah bila memikirkan ada benda yang tak settle lagi. Sampai tahap benci nak tengok laptop, sebab hati aku meronta-ronta nak baca blog. Tapi akal suruh siapkan kerja.

Jadi, aku kena gunakan masa ni dengan sebaiknya untuk berehat. Sebab kalau ikut plan, aku nak tukar team lepas projek ni. Nak merasa jadi management accountant pulak, hehehe. Masa tu nanti memang busy gila. Demi untuk perjalanan karier yang bagus, kenalah berkorban sikit.

posted from Bloggeroid

Memanglah Lebih Senang, Tapi....

Tinggal lebih kurang 35 hari lagi untuk kitorang sambut ulang tahun perkahwinan yang ke-3. Gedebak gedebuk, dah 3 tahun. Macam semua pasangan lain, kitorang pun dah rasa asam garam berumahtangga. Ada yang manis, ada yang pahit. Tu semua lumrah hidup manusia, ada pasang surutnya.



Konon-konon sempena dah 3 tahun ni, nak ajak la Nuar gi jalan-jalan. Tanya la member-member tempat yang best nak jalan-jalan. Tapi  tak jumpa lagi tempat yang berkenan di hati, hehehehe.

Yang member-member ni pulak, lain yang kita tanya, lain pulak yang dijawabnya. Aku tanya tempat yang best. Diorang pulak suggestkan kitorang pergi jalan-jalan tanpa Amirul. Ish, ish, ish, macam tak patut je.

Ni pendapat aku je ok, pendapat orang lain mungkin berbeza. Nak sambut ulang tahun perkahwinan ni bukannya sambutan antara suami isteri je. Bila kita dah kahwin, kita akan dikurniakan anak-anak. Anak-anak adalah sebahagian dari perkahwinan tu. Jadi mestilah anak-anak kena ikut bila mak bapak diorang berjalan-jalan nak sambut ulang tahun perkahwinan.

Memanglah lebih senang berjalan tanpa anak-anak. Tambah-tambah lagi Amirul yang kadang-kadang nak ikut kepala dia je. Kadang-kadang dia lah budak paling baik dan comel dalam dunia. Kadang-kadang dia buat perangai depan orang ramai, sampaikan mak dia naik hantu, tapi terpaksa bersabar, hehehe. Lumrah la jadi mak bapak.

Walaupun senang berjalan tanpa anak, tapi rasa pelik la pulak. Hari tu masa yang miscarriage tu, aku dapat MC 2 hari, Nuar pun ambil cuti sebab nak hantar aku pergi hospital. Kitorang tak bawa Amirul pergi hospital pun, sebab tak tahu apa yang akan jadi kat aku masa tu. Jadi, Amirul pergi day care je.

Lepas dah check semua, perut kami pun lapar. Pergi sarapan dekat Restoren Gembira, tapi kitorang tak rasa gembira pun. Rasa pelik pulak bila makan berdua, tak ada budak kecik tu kacau-kacau kitorang makan. Selalu tu tak dapat nak makan dengan tenang, ada je perangai dia. Ni bila dapat makan dengan tenang, hati pulak rasa tak tenang sebab fikirkan anak. Terus pergi nursery, ambik budak kecik tu bawa balik rumah. Nuar jaga dia, aku kan sakit. Tapi serius rasa pelik.


Kesimpulannya, memang tak ada maknanya kami nak pergi bercuti-cuti, gembira-gembira, tapi tak bawa budak kecik tu. Budak kecik tu sebahagian dari perkahwinan kitorang. Walaupun suka buat aku naik hantu, tapi dalam hati sayang gila. Mananya tak sayang, aku bertarung nyawa kot nak lahirkan dia.

Amirul, Mommy sayang Amirul dunia akhirat...

Sunday, February 3, 2013

Teh Hijau Pelaga

Ha, buah pelaga ni wajib ada kat dapur aku. Kata suka masak kari, harus la ada kan.

Sesiapa yang tak kenal rupa buah pelaga ni, tengok la gambar kat bawah tu. Punyalah bersungguh aku amik gambar ni tau.

Buah pelaga ni mempunyai khasiat antioksidan yang tinggi. Buah pelaga ni jugak boleh merawat pelbagai penyakit jangkitan, radang dan juga sistem penghadaman.

Haritu 'tertengok' rancangan 5 rencah 5 rasa, sekali dia tunjuk cara nak buat Teh Hijau Pelaga ni. Senang je pun, macam buat teh biasa je. Cuma aku tak letak gula la.


Bila letak buah pelaga ni, rasa teh tu macam unik tau. Sedap la, satu rasa yang baru.

Cuba la, kalau tak ada teh hijau, teh biasa pun boleh.