nuffnang ad

Friday, May 14, 2010

Jauhkanlah Benda Ni Dari Aku, Amin....

Susahnya bergelar janda...

Aku baru dapat tahu yang seorang dari teman aku sudah bergelar janda... Tapi ramai yang tak tahu tentang status terkini si teman ni. Kepada orang yang baru mengenali dirinya, dia akan mengaku yang dia masih bujang. Kepada teman-teman lama pula, dia hanya berdiam diri seolah-olah masih bergelar isteri.

Pada mulanya aku memang tak faham kenapa dia harus menyembunyikan perkara sebenar. Tapi setelah mendapat penjelasan darinya, baru aku mengerti perasaan dia. Bukan senang hidup sebagai janda, tambahan lagi harus menanggung seorang anak yang masih kecil. Harus mengambil kira pandangan orang lain lagi. Ramai orang yang memandang serong terhadap seorang janda, lebih-lebih lagi janda yang diceraikan suami (janda yang kematian suami, lain kes yer). Jika berlaku penceraian, ramai yang menuding jari terhadap si wanita, mengatakan si wanita tidak pandai menjaga suami, rumahtangga dan anak2. Kenapa hanya wanita yang dipersalahkan? Bukankah sebagai manusia, lelaki dan perempuan mempunyai kelemahan masing-masing?

Telah banyak pengorbanan yang dilakukan oleh si teman terhadap suami dan keluarga mertua sehingga sanggup mengenepikan kepentingan sendiri. Tapi semuanya dipandang sepi. Kini, dia harus berdiri kuat untuk menyara si anak dan meneruskan kehidupan. Nasibnya agak baik kerana memiliki sekeping ijazah, jadi agak mudah baginya untuk mendapatkan pekerjaan. Bagaimanakah agaknya nasib janda-janda lain yang tidak mempunyai kelulusan? Bagaimanakah mereka meneruskan hidup, lebih-lebih lagi jika bekas suami tidak membayar nafkah untuk anak-anak?

Aku doakan si teman terus kuat dalam menempuhi hari mendatang walaupun sukar untuk meneruskan hidup tanpa suami di sisi. Ku doakan juga moga dikau cepat dipertemukan jodoh semula dengan seorang lelaki yang jauh lebih baik, yang tahu mengenang semua kebaikan dan pengorbanan yang telah kau lakukan.

Untuk diriku pula, aku berdoa semoga aku dapat jadi seorang isteri yang baik dan sentiasa dapat menyenangkan hati suami. Semoga ikatan perkahwinan kami kekal untuk selamanya dan semoga kami cepat dikurniakan anak-anak yang comel dan bijak, yang sempurna sifat dan akalnya, yang patuh kepada arahan Allah dan mampu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Amin....

No comments:

Post a Comment