nuffnang ad

Saturday, February 3, 2018

Tattoo

Assalamualaikum wbt...

Marilah membebel kat sini sementara tunggu Amirul habis chess class.

Sekarang ni aku rajin la layan IG story selebriti-selebriti kat Malaysia ni. Obviously, memang majority orang Islam la kan. Yang peliknya, sekarang ni ramai betul antara diorang ni yang ada tattoos. Siap tanpa segan silu duk tayang-tayang kat orang. 

Boleh je kalau aku nak berfikiran positif, kononnya tu bukan tattoo betul. Tapi mustahil la kan...

Apa la yang diorang ni fikir? Masa muda macam ni, ko rasa bangga la kan. Esok kalau terbukak pintu taubat, macam mana nak buang tattoo tu wei? Ke memang ada cara nak buang, aku je yang tak tau.

Kalau iyer pon nak menikmati zaman muda, jangan la buat permanent damage kat badan tu.

Punya la aku concern pasal benda ni, sampai malam tadi aku termimpi-mimpi. Aku duk kira berapa ramai orang yang ada tattoo hahaha.

Ada tattoo dah satu hal, pakej pulak sekali dengan minum arak. Duk tayang-tayang jugak kat IG. Aduhai...

Saturday, November 25, 2017

My Beautiful Life - 25th Nov 2017

Assalamualaikum wbt...

Alkisahnya phone aku selalu betul buat hal kebelakangan ni. Asyik la tersangkut-sangkut, lepas tu selalu la keluar error message kata storage is full la. Padahal, habis dah semua apps aku delete. Tinggal yang basic je. 

Leaps tu, internet slow tahap siput. Tak dapat nak layan IG story huhuhu. 

Betul-betul mencabar kesabaran bila WhatsApp tak boleh guna langsung sebab katanya full. Padahal semua conversation history dah delete. Geram gile.

Bila check dekat setting, rupanya ‘system’ yang ambik space banyak sangat, sampai 14GB. Iyer, phone Mak incik Ada 16GB je. Mak incik masih bangga pakai iPhone 5s ni di saat-saat orang lain dah sibuk dengan iPhone X.

Google punya Google, rupanya Mak incik tidak keseorangan. Ramai rupanya yang kena macam ni. Ramai yang suggest suruh reset je phone ni.

Dah selamat dah reset. Internet pon dah laju. Jadi Mak incik nak layan IG story sekarang. Ok, bye.

Saturday, November 18, 2017

Ilmu - 18th Nov 2017

Asslamualaikum wbt...

Hari ni ada orientasi untuk Amirul dekat sekolah rendah dia. Adalah 4 orang cikgu yang bagi taklimat kat mak bapak.

Ini antara yang terkesan dekat hati aku. Tak ingat cikgu mana satu yang cakap. Ayat dia lebih kurang macam ni.

“Kenapa kita kena sayang dengan anak kita? Sebab dialah yang akan mendoakan untuk kita”.

Ok la, kedengaran biasa je. Tapi terkesan kat hati aku. Mungkin sebab cara penyampaian dia.



Anak-anak, nanti doakan untuk mommy dengan abah ok. Mommy harap cukup kasih sayang yang mommy bagi dekat korang. Walaupun mommy selalu marah-marah, selalu berleter, tu semua sebab mommy SAYANG!

Saturday, November 11, 2017

Craving for Fenty Beauty Foundation

Assalamualaikum wbt....



Tolong!!!! Saya sangat mengidam sama ini foundation. Dah berapa kali try tester kat Sephora. Tapi tak beli jugak.

Kenapa tak beli je kalau dah berkenan sangat?

Sebab foundation yang ada sekarang ni tak habis lagi. Dan yang paling best. Foundation sekarang ni bukan ada 1 je, tapi ada 2. Sebab time beli tu, ada promotion, discount for 2nd bottle.

Time tu rasa berbaloi la kan, tapi sekarang rasa nak mencarut hahaha. Aduh, bila nak habis ni. Dah la duduk kat rumah kan, bukan nya selalu nak pakai foundation pon. Rasanya hujung tahun depan baru habis foundation yang ada sekarang, huhuhu.

Adakah patut aku pakai je foundation time nak jemput Amirul & Khalish balik dari sekolah. Walaupun sekolah tu 2 minit je dari rumah.

Good idea kan?

Tapi lagi 2 minggu dah nak cuti sekolah dah.

Ok, serius rasa nak mencarut 😜😜😜

Saturday, November 4, 2017

Hidup Ni Jangan Pentingkan Diri Sangat

Assalamualaikum wbt

Sekarang ni kan musim hujan, hujan dari pagi bawak ke malam terus. Yang susahnya nak keringkan baju la. Boleh je nak jemur kat porch depan ni, tapi tetap la lembap jugak sebab kena juga tempias hujan.

Nak senang, keringkan kat self service punya dobi je la. Sampai-sampai je, tengok semua dryer penuh. Nak pakai dryer yang paling besar, sebab kain kitorang memang sebakul penuh. Tengok ada lagi 32 minit kain yang dalam dryer tu. Kitorang decide nak tunggu la. Dah masuk kan dalam dryer, kitorang plan nak pegi pasar malam kat sebelah kedai dobi ni jer.

Tapi boleh tak, tuan punya baju tu takde pon kat tempat kejadian. Dryer yang besar tu ada sebiji je. Yang kecik ada 5 bijik. Tu pun semua penuh. Tapi tuan baju dryer yang kecik pun takde jugak kat tempat kejadian. Terpaksa la tunggu.

Dah la kitorang nak cepat, sebab nak pergi pasar malam. Lepas tu nak hantar Amirul pergi kelas chess lagi.

Lebih kurang 10 minit, datang la sepasang suami isteri ni. Muka aku dah macam muka singa dah. Yang isteri dia siap pandang jam, konon-konon dia dah budget la dia sampai on-time. Hello, dah lambat ok. Masa itu emas!!!

Diorang punya je 3 bijik dryer yang kecik tu. Tapi tuan punya baju kat dryer besar tu, tetap la tak muncul lagi. Nak tak nak, terpaksa la kitorang pakai dryer yang kecik tu, ambik la 2 bijik.

Pergi pasar malam kejap je, buat sekali pusingan je. Terus pergi kedai dobi balik. Tengok dryer kitorang lagi 2 minit masa nak tamat, just nice la. 

Tapi, tuan punya dryer yang besar tu, tetap la belum ambik baju dia. Orang ramai lagi nak pakai dryer. Nasib kitorang tak tunggu tadi. Kalau tak, memang sah aku jadi singa dah.

Eeee kalau nak buat perangai macam tu, elok beli je dryer tu sebijik, letak kat rumah ko. Lepas tu, kalau ko tak nak keluarkan baju tu sebulan pon takde siapa nak marah. BODOH 👈 lama dah tak kata bodoh kat orang hahaha.

Bak kata Amirul, “pikir pakai otak”

Sekian, luahan perasaan untuk hari ni huhuhu.

Sunday, October 29, 2017

Amirul Hadif - 27th Oct 2017

Assalamualaikum wbt

Hari ni macam biasa, Amirul berlatih lagi main chess dekat rumah. Sebab malamnya ada chess class dengan master dia.

Mommy pun tawarkan diri nak lawan dengan dia. Mommy ni walaupun dah berpuluh-puluh tahun tahu main chess, tapi sebenarnya masih lagi dalam beginner stage. Bukannya mommy pernah belajar secara formal pun, setakat tahu cara nak jalan je. Tok Mat yang ajar dulu.

Jadi segala strategy memang tak tahu la. Betul-betul tahu cara jalan buah je, yang lain memang ikut logik je.

Sambung cerita main dengan Amirul. Memang sah la banyak kesalahan yang mommy buat kan. Siap kena ‘basuh’ dengan Amirul.

“Mommy, mana boleh jalan ni, nanti dapat makan free”

Ayat yang paling tak boleh blah...

“Mommy ni fikir la pakai otak!”

Patut tak mommy cili je mulut dia tu, over sangat tu ayat tu. 

Anak, mommy tak pernah pergi kelas chess pon. Itu je la yang mampu mommy buat....

Thursday, October 26, 2017

Haris Azfar - 2nd Birthday

Happy birthday sayang!

Mommy pray for your success in life and Hereafter. Mommy loves you so much!



Sunday, September 10, 2017

My Beautiful Life - 10th August 2017

Assalamualaikum wbt...

Again, sekejap tenggelam, sekejap timbul. Sekejap ada entry, lepas tu lama menyepi.

Just a short update about Amirul.

OMG, dia punya mulut makin la banyak perkataan mengarut yang keluar. Kalau zaman aku dulu, pasti dah kena cili dah mulut tu 😜

Terbaru ni ayat dia...

"Mommy ni macam kotak susu la".

Gara-gara dia nampak mommy BF kan si Mubin. Yer anak, sejak 6 tahun lepas, memang mommy dah jadi "kotak susu".

Tapi nasib jugak dia tak panggil "tong susu". Kecik hati mommy tau....

Saturday, July 29, 2017

Sport Day - Amirul Hadif

Assalamualaikum wbt...

Banyak sangat entry yang tertunggak ni. Nak kena buat jugak, untuk kenang-kenangan kan. Buat penat je snap photo kan 😜

Ok, entry ringkas untuk sukan Amirul. Ajak Uwan dengan Atuk pergi sekali sebab Uwan memang suka tengok sport ni.

Masa ni aku tengah sarat betul, sport day  ni 6th May, aku beranakkan Mubin 11th May. Nasib baik jugak sempat nak tengok dia bersukan.


Suatu masa dulu, Amirul memang takut dengan segala maskot ni. Jangan risau anak, mak awak ni sampai sekarang pon takut sebenarnya hihihi. Tapi sekarang Amirul tak takut dah, walaupun dekat muka tu jelas nampak ada sedikit ketakutan hahaha. Tapi dia beranikan diri jugak. Good job, anak.

Khalish memang gone case la, melalak-lalak ketakutan hahaha.


Ok, ini yang paling membanggakan kami suami isteri la. Amirul mengetuai parade untuk pelajar 6 tahun. Kalau nak diikutkan Amirul ni pelajar baru la kat kindy dia tu, 3 orang je pelajar baru. Yang lain semua memang dah belajar kat situ dari tahun lepas.

Jadi bangga la kami, dari 60 pelajar, dia yang terpilih. Dah la pelajar baru pulak tu kan. Kami berharap sangat yang awak akan terus menyerlah, jadilah pemimpin yang baik, sepertimana nama awak tu, Amirul Hadif.


Bangga sangat tunjuk first medal dia tu.

Part yang paling kelakar. Ada satu kawan dia ni suka kacau dia. Memang selalu la dia mengadu pasal budak ni. Even, teacher dia pun ada cakap yang budak tu memang selalu kacau Amirul.

Jadi masa hari sukan tu, pun ada adegan kacau-mengacau. Tapi rasanya Amirul pun sama mengacau budak tu jugak. Nak dijadikan cerita, menangis la Amirul ni kena kacau. Punya la baik teacher  Su dia tu, pangku si Amirul boleh tahan lama la jugak. Mommy, Abah, Atok, Uwan semua perhati je perangai awak tu. Sigh...

Tahun depan jangan buat perangai macam tu lagi tau. Dah sekolah rendah, cikgu ada banyak lagi murid lain nak kena tengok, bukan nak tengok awak sorang je.

My Beautiful Life - 29th July 2017

Assalamualaikum...

Jika anda mempunyai lebih dari 2 orang anak yang berumur bawah 4 tahun, janganlah sesekali berangan nak pergi warehouse sales yer. Silalah membeli-belah di tempat yang mana sales assistant nya boleh berdiri disebelah anda dari mula anda masuk kedai, sehinggalah anda selesai membayar. 

Misi membeli pakaian sekolah Amirul adalah failed.

Jadi, marilah kita beli di kedai sahaja, sambil berdoa yang dekat kedai pun boleh dapat harga macam dekat warehouse.

Sekian.

Tuesday, July 11, 2017

My Beautiful Life - 11th July 2017

Assalamualaikum wbt...

Haih, kehidupan harian makin mencabar bila ada baby kecik ni. Takpe la, hadap je la, sayang punya pasal 😀


Ok kisahnya, Nuar pergi oustation kat Sabah 3 hari. Aku pulak tak perasan beras nak habis. Sebab biasanya aku boleh je pergi beli sendiri, kedai sekangkang kera je dari rumah ni.

Cumanya, aku lupa yang aku ada anak kecik baru, huhuhu. Macam mana nak beli beras sambil dukung Mubin dan pimpin Haris. Jangankan beras yang berat tu, benda yang ringan pun belum tentu aku boleh beli kalau kena angkut budak tembam 2 orang tu huhuhu.

Jadinya Mak korang ni masak la beras yang ada hampir 2 cawan tu, sambil berdoa ia cukup untuk kami 4 beranak. Nasib baik Mubin belum pandai makan nasi lagi, huhuhu.

Hari ni masak la asam pedas ikan pari. Dan rupa-rupanya Amirul suka pulak asam pedas, makan nasi 3 pinggan. Siap hirup-hirup pulak kuah asam pedas tu. Sampai tahap, dia pergi cedok sendiri kuah tu kat kuali. Mak awak ni pandang je perangai awak sambil berdoa, jangan la dia mintak tambah nasi lagi. 

Tapi doa mak nya tak termakbul, dia nak tambah nasi lagi huhuhu.

Nasib baik jugak, Amirul nampak Khalish tak habiskan nasi dia. Jadi dia rembat je nasi Khalish. Makanya ada la nasi untuk mak dia ni makan huhuhu.

Moralnya, lepas ni cepat-cepat topup benda dah nak habis. Mak incik belum mampu lagi nak shopping barang dapur sambil bawak 2 budak tembam tu huhuhu.

Saturday, June 17, 2017

My Beautiful Life - 17th June 2017

Assalamualaikum wbt...

Pagi - merayap pergi SACC mall. Punyalah banyak booth, cantik-cantik barang diorang. Tapi 1 benda pun mak incik tak beli.

Petang - merayap pulak ke Sunway Pyramid. Uish banyaknya sales, murah-murah. Tapi 1 benda pon mak incik tak beli.

Kuat sungguh iman mak incik, manalah nak dapat wife yang tak suka nak bazirkan duit husband 😜😜😜

Tapi ada orang tu beli baju 11 helai. Yes, 11 helai!!!

Punyalah lama mak incik bertapa kat dalam fitting room tu, sampai dah bersila kat lantai sambil pangku Mubin.

Again, manalah nak dapat wife yang sabar macam ni 😜😜😜

Tuesday, June 6, 2017

My Beautiful Life - 5th June 2017

Assalamualaikum wbt...

Ni semua pasal drama Hero Seorang Cinderella. Kononnya boyfriend ni romantic la sebab hantar bodyguard untuk jaga girlfriend dia.

Makanya....

Isteri: Awak, awak tak nak hantar bodyguard untuk protect saya ke?

Suami: Ni saya dah hantar 4 orang bodyguard utk awak.

Ha, ni la bodyguardnya...



Abah korang dah arahkan korang jadi bodyguard mommy yer, jangan ingkar arahan ok 😜

Friday, May 5, 2017

Amirul Hadif - 4th May 2017

Assalamualaikum wbt

Hari ni pergi Coach kat Sunway Pyramid sebab nak re-stitch benang yang terbuka. Nasib baik handbag tu still under warranty, kalo tak memang menangis la huhuhu.

Sementara tunggu the shop assistant tu isi form dan ambik gambar, aku pun tengok2 la handbag yang diorang display.

Sekali....

"Ha, mommy tengok la handbag cantik2. Abah, kasi mommy duit (read - tolong bayarkan)"

Aww, Amirul, you are such a sweet boy.

Mesti Abah rasa macam ada pedang yang menusuk-nusuk jantung kan, hihihi.

Friday, March 10, 2017

My Beautiful Life - 9th March 2017

🔹pukul 12.45 malam mak incik makan nasi. Takpe, ni baby yang lapar sebenarnya

🔹lepas ni sambung tengok Scandal, nak habiskan season 4 harini jugak. Esok boleh start season 5 pulak

🔹lepas tu confirm tidur lambat, esok confirm pitam

🔹lepas buat ayat mintak kesian "saya tak masak arini, tak larat"

🔹kononnya bila dah berhenti kerja, nak masak hari-hari. Tapi itu semua janji palsu belaka

🔹tak salahkan kalau sesekali kita makan kat luar. Bukan nak membazir, tapi nak membantu merancakkan ekonomi negara

🔹sekian sahaja bebelan mak incik yang kesepian. Nanti kalau mak incik kesepian lagi, mak incik update lagi 😅

Saturday, September 17, 2016

Sekarang Dan Masa Lalu

Assalamualaikum wbt...

Kita selalu terfikir, alangkah bagus kalau dapat putar semula masa....

Kalau aku, nak sangat putarkan masa ke zaman arwah uwan masih hidup. 

Zaman yang kita tidur sama-sama dalam satu bilik....

Zaman yang sebelum tidur, baca macam-macam surah...

Zaman yang dia akan back-up aku bila kena marah dengan mak....

Zaman cabut uban dia....

Zaman picit kaki dan belakang dia...

Zaman cucikan kain baju dia dengan tangan....

Zaman dia yang asyik nak makan makanan sedap....

Pendek kata setiap minit yang ada dia...

Tapi aku suka jugak zaman sekarang, saat aku ada suami dan anak-anak sendiri...

Jangan tanya, zaman mana yang lebih aku suka? Aku suka kedua-duanya. Kalaulah boleh aku pilih kedua-duanya...

Walaupun dah lebih 10 tahun berlalu, rindu pada uwan masih tebal, masih mengundang air mata...

Al-Fatihah...

Friday, September 16, 2016

Citarasa

Assalamualaikum wbt...


Pagi-pagi jumaat ni, hujan turun la pulak. Patutnya boleh sambung golek-golek kat katil. Tapi boleh pulak Haris poo poo kena kat tilam. Terpaksa la bangun bersihkan huhuhu.


Jadi pagi-pagi yang sejuk ni rasa macam nak membebel pulak kat sini. Sebenarnya dah lama nak cerita pasal ni, haruslah perasaan malas tu menguasai diri kan.


Semua orang tau kot yang citarasa setiap orang adalah berbeza. Tak ada yang pelik bila ada lelaki yang handsome tapi isteri dia tak cantik sangat. Pada mata kita mungkin perempuan tu tak cantik, tapi pada mata lelaki tu, perempuan tu cantik. Kalau semua orang ada citarasa yang sama, jadinya perempuan yang tak cantik atau lelaki yang tak handsome tak kahwin la sampai bila-bila.


Sama juga macam kedai makan. Kita rasa macam tak sedap je, sampai tahap buat ayat,"dah tau masak tak sedap, nak berniaga jugak". Lepas tu kita rasa pelik, kenapa la ada jugak yang nak makan kat kedai ni. Ok, tolak tepi la isu pelaris yeh. Makanan tu tak sedap pada kita sebab tak kena dengan citarasa kita. Tapi pada tekak orang lain, sedap je.


Lagi satu kes, ada orang bagitau aku. "Tak paham kenapa orang Malaysia ni suka sangat dengan cerita Dilwale, siap bangun tepuk tangan lepas habis cerita tu, bukan best pun". Again, ini semua terpulang pada citarasa. Ada orang suka, ada orang tak suka.


Nota kaki- saya tak tengok lagi Dilwale yer, jadi tak tau sedap ke tak...


Lagi satu contoh yang senang, "OMG, buruknya baju yang dia pakai, apa yang dia fikir waktu dia beli baju tu". Ini semua citarasa ok. Dia rasa dia cantik, biar je la. Dia yang pakai, bukan dia paksa kau pakai baju tu pun.


Jadi aku rasa, tak patut wujudnya soalan-soalan kenapa macam ni, kenapa macam tu, setiap manusia punya citarasa yang berbeza. Walaupun, adakalanya aku pun suka tanya soalan macam tu hahahaha.


Sekian, terima kasih.

Friday, August 12, 2016

Khalish Aid & Warna

Assalamualaikum wbt...


Kitorang ni dah berbulan-bulan ajar Khalish tentang warna. Nampak benda yang warna terang je, mesti tanya dia...

"Khalish, colour apa ni?"

"Blue"

Memanjang blue je la jawapan dia. Kalau tak blue, mesti dia jawab macam ni...

"Hmmm adik tak tahu"

Nak marah pun tak bole, sebab nada dia tu comel sangat. Rasa nak gigit je muka dia hahaha.

Aku ni pulak ala2 risau la, rabun warna ke si Khalish ni, sebab Amirul dulu cepat je dapat tangkap warna-warna ni. Siap kecik-kecik lagi dah ada warna kegemaran, warna gween (memang sengaja aku eja macam tu, sebab dia memang sebut macam tu. Orang putih la katakan).

Untuk Khalish ni kitorang kena tukar cara lain pulak, mungkin dia keliru kot dengan warna. Memang sah tak berseni budak ni huhuhu. Jadi kitorang nak kenalkan warna merah dulu dekat dia. Ajar "merah", tak nak campur aduk dengan "red" sebab takut dia keliru.

After few days, memang dia dah kenal la warna merah tu.

Satu hari yang yang emak dia ni tengah kelam kabut, tiba-tiba Khalish bersuara...

"Mommy, nak biskut baby".

Aah, Amirul dengan Khalish memang suka menumpang makan makanan adik dia, dari biskut sampai la ke bubur, semua diorang sental huhuhu. Jadi disebabkan diorang pun makan sekali biskut adik dia, kitorang pon borong la 4 kotak sekaligus, ada 3 perisa, jadi kotaknya ada 3 warna yang berbeza.

Kitorang buka kotak yang warna hijau dulu. Berbalik pada cerita Khalish tadi, disebabkan biskut yang kotak hijau tu dah dibuka, harus la hulur kat dia biskut tu dulu.

Sekali...

"Adik tak nak colour green, adik nak colour orange".

Wah, tiba-tiba dah pandai segala warna. Kalau tak, asyik la jawapan kau "adik tak tau".

Kesimpulan yang kami boleh buat, jangan tertipu bila budak-budak kecik ni buat tak tahu. Nampak sangat malas nak fikir kan. Khalish... Khalish...



Monday, August 8, 2016

Durian Durian





Assalamualaikum wbt...

Ok, ni hari sabtu punya cerita. Mula-mula ingat nak balik kampung sebab Khalish dah berhari-hari tanya, bila nak balik kampung. Siap cakap, "tak sabarnya nak balik kampung" hihihi.


Sekali, akak ipar aku nak tumpang cuci carpet pulak, so terpaksa la cancel balik kampung, huhuhu.


Settle cuci carpet semua, decide nak pergi cari durian dekat Broga. Bincang-bincang lagi tak jadi pergi Broga. Nak cari kat SS2 je la.





Hahaha, tergoda tak? SS2 punya durian agak pricey sikit tapi kualiti best la, kira berbaloi pergi sana. Lagipun Nuar dah kira macam regular customer kat sana, so bole la nak bargain sikit.


Ha, ini adalah antara hantu durian dekat rumah kitorang tu. Tapi time ni dia tak makan banyak sangat sebab sibuk nak main susun-susun kerusi dekat kedai tu.



Yang ini pulak hantu-durian-in-the-making. Punya la dia marah sebab aku asyik suap durian masuk mulut sendiri je. Bagi la dia rasa sikit, sekali makan banyak pulak si kecik ni. Tapi takde la dia makan sampai seulas pun, jangan kecam saya ok hihihi.


Cakap dengan Nuar, Haris ni dah biasa makan durian ni sebab time pregnantkan dia dulu, memang aku kuat makan durian. Walau orang kata tak elok makan durian time pregnant, tapi mak incik makan banyak jugak huhuhu.






Ni dah on the way balik, Amirul tidak begitu happy la kan sebab dia orang putih, mana makan durian-durian ni hihihi.


Friday, August 5, 2016

Amirul Hadif & Makanan

Assalamualaikum....




Haih, marilah merajinkan diri update blog. Patutnya dah jadi stay at home mom ni lagi rajin la update blog kan. Tapi tak adanya, lagi busy ok.




Nak cerita pasal si Amirul ni. Banyak betul 'cekadak' budak ni tau. Dah pandai nak order apa yang dia nak makan, order kat aku suruh masak la.




Last weekend family Nuar buat potluck untuk raya. Aku masak la laksa utara, sebab macam dah lama pulak tak makan laksa buatan sendiri kan. Tapi tak sempat nak makan laksa tu dekat rumah, just rasa kuah je la.




Dekat rumah Alang Nuar tu, banyak dah Amirul makan laksa tu. Nasib baik ada lebih lagi kuah laksa tu untuk bawak balik, so boleh la kitorang sekeluarga makan malam tu.




Esok tu, dia makan lagi sepinggan yang terakhir. Haruslah tak cukupkan, sebab budak ni kan kuat makan. Immediately, suruh aku masak laksa lagi ok. Hello,ko ingat nak masak laksa tu senang macam nak masak nasi goreng ke?




Sejak dari hari ahad tu, hari-hari dia tanya, aku masak laksa tak. Huhuhu, memang tak la.




Tu baru cerita laksa, belum lagi makanan lain. Balik sekolah je, main order apa yang dia nak makan. Nak nasi goreng la, spaghetti la, ayam goreng la. Pendek kata semua ikut selera dia la. Sampai tahap Abah dia kata, "Asyik korang je order, Abah tumpang je order korang" huhuhu.
























Hari ni, ambik diorang dari school. Masuk je kereta, Amirul cakap "Mommy, Amirul nak makan nasi lemak dengan telur goreng. Tadi dekat school, Amirul makan 2 je. Kalau Mommy masak, Amirul (dapat) makan 10".




Amboi....









Yang si kenit sorang ni, belum pandai order lagi. Tapi dia ikut je apa yang Amirul buat. Amirul makan, dia pon makan. Ha, berebut lah korang makan di situ.







Sementara nak tunggu nasi lemak siap, korang makan la sata dengan keropok ni dulu. Hari-hari aku nak kena fikir, apa kudap-kudapan nak bagi kat budak-budak ni, diorang ni lapar je.


Bila difikirkan balik, bagus jugak aku ambik career break sekarang ni, boleh jugak layan tekak diorang ni. Mintak-mintaklah murah rezeki kitorang supaya career-break aku ni akan jadi permanent.