nuffnang ad

Wednesday, October 26, 2011

Alahai, Hiba Sangat Hati Aku

Setelah 7 hari bergelar ibubapa, hari ini Nuar balik ke Shah Alam sebab esok dia akan bekerja semula. Sedih benar hati aku nak lepaskan dia balik. Rasa macam memisahkan seorang anak dengan ayahnya pula.

Sejam sebelum Nuar bertolak, air mata aku dah mula bergenang-genang. Aku cuba tahan,tak nak tunjuk pada dia. Aku tak nak dia pun rasa berat hati untuk balik, tapi apa kan daya. Masa dia tengah kemas baju, aku terus pergi kat dia dan menangis depan dia.

Kalau ikutkan rasa hati, memang aku rasa macam nak kemas semua barang dan ikut dia balik Shah Alam. Tapi memikirkan diri yang masih lemah, tambahan pula tak ada pengalaman menjadi seorang ibu lagi, aku akan cuba untuk kuatkan semangat untuk tinggal di kampung sehingga tamat tempoh berpantang.

Hiba sangat hati aku bila mengenangkan suami yang kena makan sendiri, basuh baju sendiri, kemas rumah sendiri. Terfikir aku, bergosokkah kemejanya, sunyikah hidupnya tanpa bebelan aku, rindukah dia pada tangisan anak yang baru berusia 7 hari?

Waktu aku menulis entri ni, air mata masih laju mengalir di pipi walaupun dah lebih sejam Nuar bertolak. Ya Allah, kuatkanlah hati aku, tabahkanlah jiwa aku dalam menjalani tempoh berpantang tanpa suami.

Kepada Encik Suami, Min tau awak baca entri ni. Jaga diri baik-baik, Min dan Mirul tunggu awak balik kampung untuk jenguk kitorang :)

P/S - cepatlah 44 hari berlalu
P/S/S - Encik-Cinta-Hatiku jangan lupa janji nak bawa Min makan ketam lepas pantang nanti

Saturday, October 15, 2011

Rajinnya Mereka

Kalau nak diikutkan, aku bukan orang yang rajin nak post entri kat blog ni. Janji pada diri sendiri untuk post sekurang-kurangnya 2 entri saja sebulan.

Aku memang malas nak tulis blog, tapi aku sangat rajin nak baca blog orang lain. Kalau jumpa blog yang menarik, memang aku akan baca dari entri pertama sampailah ke entri yang terkini. Yang pastinya aku lebih suka membaca blog yang memberi ilmu pengetahuan berbanding blog gosip artis. Tak ingat dah bila kali terakhir aku baca blog tentang gosip artis.

Yang pasti juga, aku lebih tertarik untuk menjengah blog berbanding facebook. Memang aku selalu online di facebook tapi sangat jarang untuk aku mengemaskini status, jarang juga mengintai aktiviti orang lain di facebook.

Aku memang takjub dengan blogger yang tak pernah kering idea untuk menulis dalam blog mereka. Setiap hari pasti ada isu-isu yang cuba diketengahkan. Ada sesetengah blogger yang boleh menulis sehingga 900 entri setahun. Memang aku tabik dengan mereka ni. Jadi setiap hari aku memang ada bahan bacaan baru.

Bagi aku sendiri, idea selalu ada dalam kepala ni, tapi aku rasa susah sangat nak diterjemahkan dalam bentuk ayat. Tu belum masuk lagi dengan gangguan-gangguan yang ada di sekeliling aku ni. Encik Suami sangat suka mengintai semasa aku sedang menulis, sehingga membantutkan idea yang baru nak bercambah hehehe...

Kalau ada yang sudi, silalah perkenalkan aku dengan blog yang menarik untuk diikuti. Kalau boleh blog yang ditulis menggunakan ayat Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang tersusun. Aku tak berapa berkenan dengan blog yang ditulis dengan menggunakan singkatan perkataan yang melampau kerana aku merasakan yang aku kini tergolong dalam golongan 'orang tua' yang susah nak memahami perkatan-perkataan singkatan yang digunakan oleh 'orang-orang muda' zaman sekarang.

Diharapkan semoga akan muncul lebih ramai blogger yang berkualiti yang sudi berkongsi ilmu pengetahuan dengan orang lain.

Monday, October 10, 2011

Ada Sesiapa Yang Teringin Nak Jadi Jiran Sebelah Rumah?

Alkisahnya, jiran sebelah rumah aku nak balik kampung dia kat Melaka, jadi dia nak jual rumah dia. Isu yang cuba aku ketengahkan kali ni adalah berkenaan harga rumah tu. Rumah yang aku duduk ni baru aje aku beli 3 bulan yang lepas dengan harga RM360,000. Aku tandatangan SNP pada bulan June 2011 haritu.

Korang tahu berapa jiran aku ni nak jual rumah dia? RM438,000! Dalam masa 3 bulan aje, harga rumah boleh naik sampai RM78,000. Maknanya, kalau aku berniat nak jual rumah aku ni, senang-senang aje boleh untung lebih dari RM70,000 dalam masa 3 bulan.

Kalau nak diikutkan, rumah ni tidaklah begitu besar. Standard rumah teres 2 tingkat aje, 20x70. Tapi mungkin disebabkan oleh lokasi rumah yang strategik iaitu sempadan Shah Alam dan Subang Jaya menyebabkan harganya boleh naik sebegitu mendadak. Dan rumah ini juga berstatus pegangan bebas (freehold). Bagi mereka yang memang mencari rumah di kawasan Lembah Klang, pasti mengakui bahawa bukan mudah untuk mendapat rumah yang berpegangan bebas dan terletak di lokasi stategik. Bila aku maksudkan stategik, maksudnya lokasi yang tak begitu jauh dari Kuala Lumpur, Damansara dan bandar-bandar lain. Untuk pengetahuan, rumah ni baru berusia 4 tahun aje. Masih dalam keadaan baik.



Inilah dia rumah yang aku gembar-gemburkan tu. Kalau ada sesiapa yang berkenan, boleh lah hubungi aku.

Kalau korang teringin juga nak dapatkan rumah freehold sekarang ni, silalah cari di kawasan yang jauh sikit macam Sungai Buluh (tu pun yang ceruk mana entah), Rawang, Bandar Putra Mahkota, Nilai. Yang berlokasi stategik ni semua berstatus leasehold. Tapi tak salah pun beli rumah leasehold ni. Aku yakin korang pun tahu kelebihan dan kekurangan membeli rumah leasehold dan freehold ni.

Bagi aku sendiri, pengalaman nak mencari rumah ni adalah satu pengalaman yang ngeri (ok, drama je lebih hehehehe). Tapi memang susah nak cari rumah yang sesuai. Sesuai dari segi lokasi, keadaan rumah dan juga keadaan poket kitorang. Setiap kali kitorang tengok rumah, mesti balik dengan perasaan kecewa. Ada aje yang tak kena dengan rumah yang kitorang tengok tu. Sampai satu tahap, aku berniat nak beli apartment aje. Pada aku nak cari rumah yang sesuai adalah jauh lagi susah dari nak mencari pekerjaan yang sesuai. Serius, tak tipu!!

Tapi pada suatu hari yang tak begitu produktif di pejabat, aku telah mencuri tulang dengan membuka laman web iproperty. Aku ternampak iklan rumah ni dan terus berkenan. Dengan pantas aku me'roger' Encik Suami pasal rumah ni. Dengan pantas, aku menghubungi ejen yang menjual rumah ni. Dengan pantas juga, aku keluarkan duit RM3,000 waktu keluar makan tengahari (untuk deposit la kononnya).

Malamnya, kami pun bertolak untuk tengok rumah tu. Janji dengan ejen pukul 8 malam. Tapi janji Melayu la katakan, kami sampai lambat sikit dari masa yang dijanjikan. Ejen tu dah siap kasi amaran. Selain kitorang, ada lagi 2 famili yang akan tengok rumah ni juga dan famili tu dah pun sampai rumah ni. Kalau mereka berkenan, merekalah yang akan dapat. Kira first come, first serve basis lah. Sepanjang perjalanan aku berdoa agar 2 famili tu tak berkenan dengan rumah ni, sebab aku memang dah berkenan dengan rumah ni (padahal baru tengok gambar je, gila kan hehehe).

Lepas tengok aje rumah ni, aku terus cakap kat Encik Suami yang aku berkenan dan aku nak beli terus rumah ni. Encik Suami pun terkejut sebab dia tak tahu pun yang aku dah sediakan duit untuk deposit rumah ni. Pendekkan cerita, esoknya aku bayar lagi baki RM7ooo++ untuk 3% deposit.

Moral dari cerita aku ni, silalah simpan duit siap-siap (sekurang-kurangnya 10% dari harga rumah) sebab peluang untuk beli rumah yang kita berkenan dan mampu memang jarang-jarang akan muncul di depan mata. Kalau kita lambat sikit aje, orang lain dah rembat dulu. Moral yang kedua, kalau korang dah berkenan dengan rumah tu, teruslah beli rumah tu sebab harga rumah naik dengan sangat mendadak sampai tahap yang melampau.

Kalaulah, aku boleh pusing semula waktu, aku akan beli rumah awal-awal. Sebab 2 tahun yang lepas, dengan harga RM360,000 ni, aku boleh beli rumah yang jauh lebih baik dari rumah sekarang ni. Tapi kata orang, what's done can't be undone. Aku bersyukur sekurang-kurangnya dah dapat juga beli rumah hasil titik peluh sendiri :)